Tuesday, March 3, 2009

SIARAN AKHBAR : Tawaran Biasiswa PILN 2009

Siaran Akhbar: Tawaran Biasiswa PILN 2009

Modal insan adalah merupakan aset negara yang paling berharga. Justeru, Kerajaan sentiasa mempergiatkan usaha-usaha yang berterusan untuk menghasilkan modal insan yang berkualiti. Penajaan biasiswa bagi para pelajar untuk melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara adalah merupakan salah satu inisiatif yang perlu diteruskan. Ini merupakan pelaburan jangka panjang yang hasilnya bakal dinikmati apabila mereka pulang berkhidmat dan seterusnya menjamin kesinambungan keupayaan negara di masa akan datang.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan melaksanakan Program Ijazah Luar Negara (PILN) bagi tahun 2009 untuk pelajar cemerlang lepasan SPM 2008 mengikuti pengajian di universiti luar negara dalam bidang-bidang kritikal (Perubatan, Pergigian, Farmasi dan Sains Perubatan Veterinar), Kejuruteraan, Sains & Teknologi serta bidang Sains Sosial yang diperlukan oleh perkhidmatan awam dan negara. Jumlah keseluruhan bilangan biasiswa yang disediakan bagi tahun 2009 adalah 2,000.

Setiap tahun PILN menjadi tumpuan banyak pihak sehingga mewujudkan pergantungan harapan yang tinggi terutamanya di kalangan calon dan juga ibu bapa. Pada tahun 2008, misalnya, JPA telah menerima sebanyak 15,220 permohonan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,282 permohonan memenuhi syarat minimum yang ditetapkan sedangkan bilangan biasiswa yang ditawarkan adalah terhad iaitu sebanyak 2,000 sahaja.

Bidang pengajian yang menerima permohonan terbanyak ialah Perubatan, manakala, negara pengajian yang menjadi pilihan utama calon ialah United Kingdom, Australia dan New Zealand. Walau bagaimanapun, semua permohonan tidak boleh dipenuhi kerana tertakluk kepada kekangan kuota pelajar asing bagi bidang perubatan di universiti luar negara.

Berdasarkan pengalaman lalu, bilangan permohonan bagi tahun 2009 dijangka akan meningkat di kalangan calon yang cemerlang. Namun bilangan biasiswa yang terhad akan menjadikan PILN terus kompetitif. JPA, dengan ini, menasihatkan agar calon serta ibu bapa menerima hakikat ini dan berusaha untuk menimbangkan sumber-sumber alternatif penajaan yang lain.

Menyedari persaingan yang kompetitif dalam PILN 2009, usaha penambahbaikan terhadap kriteria pemilihan telah dimantapkan meliputi pencapaian akademik, penglibatan dalam kegiatan ko-kurikulum, sosio-ekonomi (termasuk tanggungan keluarga) dan prestasi temuduga.

Mulai tahun ini, panel temu duga dilantik daripada pegawai-pegawai Kerajaan pelbagai profesion dan kaum mengikut bidang-bidang tajaan. Misalnya, pelajar-pelajar yang memilih bidang perubatan/kesihatan akan ditemu duga oleh pegawai perubatan/pergigian/ farmasi yang terdiri daripada pelbagai kaum. Satu jawatankuasa khas akan menyelia urusan temu duga bagi memastikan pelaksanaannya telus, adil dan saksama.

Temu duga akan dijalankan secara berkumpulan mengikut bidang-bidang pengajian (misalnya perubatan/pergigian/farmasi/perubatan veterinar, kejuruteraan, sains dan teknologi dan sains sosial). Setiap satu kumpulan terdiri daripada empat orang calon dalam kelompok yang sama dan calon-calon ini akan ditemu duga dan mengadakan perbincangan mengikut topik yang diberikan oleh panel dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, calon yang memohon untuk mengikuti program perubatan adalah diwajibkan menghadiri Program Pendedahan Kerjaya Seorang Doktor. Program ini akan dilaksanakan selama lima hari mulai 23 hingga 27 Mac 2009 di 49 buah hospital-hospital Kerajaan yang telah dikenalpasti dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia. Aspek-aspek yang didedahkan adalah seperti keadaan dan tanggungjawab seorang doktor di Jabatan Kemalangan/Kecemasan, Jabatan Pesakit Luar, Jabatan Pembedahan/ O&G/Orthopedik, pengurusan di bilik mayat, on-call dan lain-lain yang bersesuaian.

Calon-calon yang berjaya ditawarkan penajaan PILN akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat pengajian yang ditetapkan oleh JPA. Calon-calon diingatkan supaya mengekalkan tahap kecemerlangan mereka kerana penajaan ke universiti-universiti di luar negara hanya akan diteruskan ke atas mereka yang mencapai had kecemerlangan (cut-off point) yang ditetapkan, rekod kehadiran kelas melebihi 90 peratus dan tiada rekod disiplin.

Calon-calon yang tidak berjaya mendapat biasiswa di bawah PILN masih berpeluang untuk mendapat tajaan JPA di IPT tempatan yang diiktiraf termasuk kampus-kampus cawangan universiti luar negara di Malaysia (University of Nottingham, Monash University, Swinburne University of Technology dan Curtin University of Technology) dan AIMST University.

Maklumat lanjut mengenai PILN 2009 akan diumumkan kemudian.

Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Putrajaya

26 Februari 2009

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online