Thursday, April 24, 2008

MENGAPA SELALU LUPA

Mengapa Anda Selalu Lupa?


Adakah masalah lupa merungsingkan anda? Itu sudah pasti, bukan? Sekiranya anda dapati anda sering kali lupa apa yang telah dibaca, maka tahniah!! itu tandanya anda manusia normal. Hasil kajian telah menunjukkan 80% dari apa yang kita baca hari ini akan lupa hanya dalam masa 24 jam.

Jangan cari alasan. Ramai pelajar menjadikan lupa sebagai alasan untuk tidak belajar atau membuat ulangkaji terlalu awal. "Buat apa baca sekarang esok lupa juga". Inilah kata-kata yang sering diucapkan. Tahukah anda, sebenarnya anda tidak lupa, cuma anda belum melakukan cukup usaha supaya anda tidak lupa. Mudah bunyinya bukan??

Sebenarnya wujud perbezaan antara belajar awal dengan belajar waktu musim peperiksaan. Anda perlu belajar awal untuk menyediakan nota-nota bermutu dan untuk memahami setiap mata pelajaran dengan sebaik-baiknya. Jangan risau kalau masih banyak yang anda belum ingat, yang penting telah banyak tajuk-tajuk yang anda telah faham.

Fahami apa yang dibaca. Memahami matapelajaran adalah langkah pertama sebelum anda melakukan usaha untuk menghafalnya. Menghafal bahan yang tidak difahami adalah perbuatan yang sia-sia. Sekiranya anda belajar awal, anda pasti punya banyak masa dan berpeluang untuk bertanya kepada guru dan rakan-rakan agar setiap kekeliruan dapat diatasi sebelum terlambat..

Setelah anda benar-benar faham, sediakan nota ringkas yang bermutu untuk anda gunakan setiap kali datangnya musim peperiksaan. Sediakan juga nota-nota poket dan peta minda bagi memudahkan anda merujuk semula kepada apa yang telah dipelajari tanpa perlu membelek semula buku-buku asal.

Hafal kata kunci. Ramai pelajar yang mempunyai tabiat menghafal yang buruk. Mereka cuba mengingati keseluruhan ayat yang mewakili fakta.

Contoh fakta:
Otak manusia terbahagi kepada dua hemisfera iaitu otak kanan dan otak kiri.

Pertama sekali pastikan anda faham apa mesej yang mahu disampaikan kepada anda dalam fakta tersebut. Keduanya barulah hafal fakta itu, tetapi bukan menghafal keseluruhan ayat. Hafal hanya perkataan 'dua hemisfera' yang merupakan kata kunci kepada fakta. Sekiranya anda ingat kata kunci ini pasti sahaja anda mampu menerangkan kepada orang lain apa maksud disebaliknya. Sebab itulah anda perlu faham sebelum anda hafal!!

Pecahkan kepada beberapa kumpulan kecil. Sekiranya anda terpaksa menghafal terlalu banyak fakta, jangan hafal kesemuanya serentak. Tidak perlu terburu-buru. Pecah-pecahkan fakta-fakta tersebut kepada beberapa kumpulan kecil dan hafal setiap fakta dalam kumpulan ini.


Misalnya, kalau anda ada 15 fakta yang perlu diingat, pecahkan fakta-fakta ini kepada 3 kumpulan kecil. Setiap kumpulan mempunyai hanya 5 fakta. Baik, sekarang mana yang lebih mudah dihafal, kumpulan yang 15 fakta atau kumpulan yang mengandungi 5 fakta? Lihat! mudah-mudahkanlah pekerjaan anda. Sekali lagi jangan terburu-buru. Mempelajari bahan-bahan akademik memerlukan kesabaran dan ketekunan yang tinggi.

Sering membuat imbasan. Satu lagi faktor anda lupa ialah terlalu percaya bahawa anda telah menguasai tajuk tersebut hanya dengan melakukan sekali ulangkaji. Awal-awal lagi telah dibuktikan bahawa 80% daripada apa yang telah dipelajari akan lupa dalam masa 24 jam. Sekiranya anda tidak menyemak semula tajuk tersebut dalam masa yang terdekat, maka jangan pelik kalau anda terpaksa mengulang baca keseluruhan tajuk sekali lagi dimusim peperiksaan. Untuk menjadi seorang pelajar yang efektif, anda perlu melihat seimbas apa yang telah anda baca dari semasa ke semasa secara sistematik. Petua dibawah boleh digunakan dan terbukti berkesan:

  • Imbas 5 minit apa yang dibaca selepas 24 jam.
  • Imbas 5 minit lagi selepas 1 minggu.
  • Imbas 5 minit setiap 2 minggu.
  • Imbas 5 - 10 minit dimusim peperiksaan.

Gunakan teknik-teknik ingatan. Untuk memudahkan lagi proses mengingati fakta, anda perlu ada kemahiran tertentu seperti teknik mnemonik, teknik menggambar cara, teknik ceraian dan pelbagai lagi. Pastikan anda kembali ke sini setiap minggu sebab pelbagai topik berkaitan dengan ingatan akan dimasukkan dari semasa ke semasa.

Elakkan dari tidur petang. Ini lagi satu penyakit. Tidur selepas waktu Asar akan melembabkan otak anda. Dalam Islam amalan tidur petang sebegini sangat tidak digalakkan. Oleh itu hentikan tabiat buruk anda ini. Kalau anda letih, tidur sahaja sebentar selepas solat zuhur, ini sunnah Rasulullah s.a.w. Badan akan terasa lebih bertenaga untuk belajar diwaktu malamnya nanti.

Ajarkannya kepada orang lain. Cari peluang untuk mengajarkan apa yang telah anda ketahui kepada orang lain. Libatkan diri secara aktif dalam perbincangan kumpulan. Hanya dengan mengajarkannya sahaja anda dapat menguji penguasaan anda terhadap satu-satu tajuk. Raikan setiap soalan dan hujah daripada rakan. Galakkan mereka bertanya kepada anda. Hanya dengan cara inilah otak anda mula bekerja lebih keras untuk mencari jawapan.

PETUA BERI TUMPUAN DALAM KELAS

Petua Memberikan Tumpuan Dalam Kelas


Kegagalan memberikan tumpuan dalam kelas menyebabkan ramai pelajar gagal meraih keputusan yang baik dalam peperiksaan. Berikut adalah petua yang boleh digunakan untuk meningkatkan tumpuan anda:

  • Semak seimbas nota yang telah diberikan oleh guru terdahulu sebelum memulakan kelas. Sekiranya ada bahagian yang anda tidak faham atau keliru maka tanyakan pada guru sebelum bermulanya kelas tersebut. Jangan biarkan ketidakfahaman atau kekeliruan itu mengganggu anda. Guru mungkin akan mengajar lebih mendalam hari ini dan sekiranya anda tidak merungkai kekeliruan itu anda akan terus ketinggalan dalam mengikuti apa yang diajar.
  • Baca juga bahan yang bakal diajarkan oleh guru nanti. Walau pun anda tidak memahami keseluruhan apa yang dibaca sekurang-kurangnya anda tahu apa yang akan diajar oleh guru kelak. Secara tidak langsung tumpuan dan minat anda meningkat.
  • Cuba duduk di barisan depan dalam kelas. Sekiranya anda duduk di tepi tingkap, tutup tingkap ketika guru mengajar.
  • Jangan alih mata anda dari melihat guru dan lihat apa yang ditulis di papan hitam/putih.
  • Tunjukkan minat yang mendalam. Perbetulkan kedudukan anda dan ceriakan wajah anda. Ingat apa yang diajar itu jauh lebih penting daripada siapa yang mengajar. Yakinkan diri anda betapa pentingnya tumpuan dalam kelas. Ingat!! Ia menyumbang 50% dari keseluruhan markah peperiksaan kelak.
  • Pasang telinga. Dengar dan fahami setiap patah perkataan yang disampaikan. Terjemahkan apa yang disampaikan oleh guru ke dalam bentuk gambaran minda.
  • Catat setiap fakta penting atau fakta yang anda sangka penting, sama ada fakta-fakta yang ditulis atau yang diucapkan oleh guru.
  • Catat setiap perkara yang anda tidak faham. Catatkan juga setiap soalan yang terbit dalam fikiran anda. Gunakan tujuh perkataan berikut untuk membina soalan Apa? Siapa? Bila? Berapa? Dimana? Kenapa? Bagaimana?
  • Gunakan buku khas untuk tujuan catatan ini, atau gunakan kaedah mengambil nota berkesan. Sekiranya berpeluang segera angkat tangan dan tanya guru. Tanya untuk dapatkan lebih huraian; tanya untuk memastikan kefahaman anda betul; atau tanya kerana ada soalan-soalan yang lebih spesifik. Antara tanda-tanda yang anda telah memberikan tumpuan ialah anda TAHU apa yang anda TIDAK TAHU.
  • Jangan hiraukan sebarang gangguan dari rakan-rakan. Jangan bertindak balas terhadap usikan dan gurauan mereka ketika kelas berjalan.
  • Kajian menunjukkan bahawa anda lupa 80% dari apa yang telah dipelajari dalam masa 24 jam. Oleh itu segera menyemak apa yang telah diajar serta merta apabila guru keluar dari kelas

KATA-KATA HIKMAH

“Manusia adalah kejadian yang sempurna tetapi

apa yang manusia lakukan selalunya

yang kurang sempurna.”

“Kelemahan utama manusia bukanlah kerana ia tidak mendapat atau tidak memperoleh apa yang belum dapat dipunyainya tetapi adalah kerana kegagalannya menggunakan apa yang dipunyainya.”

“Tidak penting apa yang orang lain fikirkan tentang diri kita tetapi

apa yang lebih penting ialah apa

yang kita fikirkan tentang

diri kita dan orang lain.”

“Setelah kita mengenali diri kita sendiri, kita akan menyedari bahawa kejayaan adalah hak mutlak kita.”

“Perjalanan yang jauh bermula dengan langkah yang pertama. Oleh itu, kenalilah diri anda sebelum anda mengenali orang lain.”

Lebih baik kita tahu apa yang kita tak tahu daripada kita tak tahu apa yang kita tahu.

“Jangan takut kepada kegagalan kerana apa yang paling ditakuti ialah anda tidak mempunyai cita-cita untuk mencuba.”

“Kenal pasti kelemahan diri anda dan bertindak mulai sekarang.”

“Langkah pertama untuk menuju kecemerlangan adalah dengan mempunyai sikap yang betul terhadap diri sendiri.”

“Setiap label yang kita berikan pada diri kita akan mempengaruhi perlakuan dan prestasi kita.”

“Sebagai seorang insan, kita tidak boleh gagal dalam hidup ini kerana kita dicipta bukan untuk gagal.”

“Setelah kita mengenali diri kita sendiri, kita akan menyedari bahawa kejayaan adalah hak mutlak kita.”

“Jangan takut kepada kegagalan kerana apa yang paling ditakuti ialah anda tidak mempunyai cita-cita untuk mencuba.”

“Sebagai seorang insan, kita tidak boleh gagal dalam hidup ini kerana kita dicipta bukan untuk gagal.”

“Kunci kepada kejayaan adalah dengan mengenali diri sendiri.”

“Jika mahu menjadi manusia yang berjaya, jangan sekali-kali memikirkan tentang kegagalan.”

“Kegagalan itu hanyalah kekalahan sementara tetapi kekecewaan adalah kegagalan yang berkekalan.”

“Jangan takut kepada matlamat yang gagal dicapai kerana yang paling ditakuti ialah tiada matlamat untuk dicapai.”

PETA MINDA

PETA MINDA

Peta minda adalah satu kaedah mengingat dan mencatat nota yang berkesan kepada pelajar. Dalam kaedah peta minda hanya fakta-fakta penting sahaja yang dimasukkan ke dalam peta minda.

Petua membuat peta minda:
1. Pada bahagian tengah lukis tajuk dengan huruf besar.
2. Bahagikan kepada cabang-cabang yang merupakan fakta utama (maksimum tujuh cabang)
3. Bahagikan cabang kepada cabang kecil - fakta terperinci
4. Setiap cabang utama menggunakan satu ayat contoh KAEDAH,JENIS
5. Semua fakta di dalam huruf BESAR
6. Jangan fikir dimana hendak letakkan cabang / fakta

Penggunaan peta minda membolehkan kita menggunakan kedua-dua bahagian otak. Diatas cabang juga anda digalakkan menggunakan grafik untuk menarik perhatian semasa membaca.



masa free... datanglah jumpa ckgu di blk kaunseling. Nanti blj ckgu explain lg detail ttg ming mapping.

blogger templates | Make Money Online